Suatu hari, Ketika perniaga daging sibuk melayan pelangannya, seekor anjing liar menghampiri bangku penjual daging lalu menyambar sepotong daging. kemudian, anjing tersebut segera melarikan diri.
‘’Eh,anjing yang jahat! Berani kau mencuri daging aku!’’ Jerit perniaga daging dengan marah sambil mengejar anjing liar dengan pisau pemotong dagingnya. Namun anjing liar itu berlari terlalu pantas dan penjual daging tidak dapat mengejarnya.
Anjing liar itu berlari sekuat hatinya sehinggalah ia tiba di sebatang sungai. Setelah pasti keselamatannya terjamin,ia berhenti dengan termengah-mengah.
‘’Anjing itu melalui sebuah titi untuk menyeberangi sungai. Ketika ia menjenguk ke dalam sungai, ia berasa sungguh terkejut apabila melihat seekor anjing lain sedang menggonggong sepotong daging yang lebih besar. Ia tidak tahu bahawa itu adalah bayang-bayangnya sendiri.‘Aku mesti mendapatkan dagingnya itu,’ fikir anjing liar itu.
Tanpa berfikir panjang,ia pun menyalak kepada anjing yang dilihatnya di dalam sungai itu. Namun malang baginya, sebaik sahaja ia membuka mulutnya, daging yang digonggongnya itu terjatuh ke dalam sungai.
‘’Ahhh…bodohnya aku! Aku sepatutnya bersyukur dengan makanan yang aku ada. Bersikap tamak hanyalah merugi kan diri sendiri…’’rungut si anjing liar itu. Akhirnya anjing liar terpaksa pulang dalam kelaparan.
Burung Bangau Dengan Ketam
Pada zaman dahulu terdapat sebuah tasik yang sangat indah. Airnya sungguh jernih dan di dalamnya ditumbuhi oleh pokok-pokok teratai yang berbunga sepanjang masa. Suasana di sekitar tasik tersebut sungguh indah. Pokok-pokok yang tumbuh di sekitarnya hidup dengan subur. Banyak burung yang tinggal di kawasan sekitar tasik tersebut. Salah seekornya adalah burung bangau. Manakala di dalam tasik hidup bermacam-macam ikan dan haiwan lain. Ada ikan telapia, sepat, kelah, keli, haruan dan bermacam-macam ikan lagi. Selain daripada ikan,terdapat juga ketam dan katak yang turut menghuni tasik tersebut.
Burung bangau sangat suka tinggal di kawasan tasik tersebut kerana ia senang mencari makan. Ikan-ikan kecil di tasik tersebut sangat jinak dan mudah ditangkap. Setiap hari burung bangau sentiasa menunggu di tepi tasik untuk menangkap ikan yang datang berhampiran dengannya.
Beberapa tahun kemudian burung bangau semakin tua. Ia tidak lagi sekuat dulu untuk menangkap ikan. Kadang- kadang ia tidak memperolehi ikan untuk dimakan menyebabkan ia berlapar seharian. Ia berfikir di dalam hatinya seraya berkata "Kalau beginilah keadaannya, aku akan mati kelaparan kerana tidak lagi berdaya untuk menangkap ikan. Aku mesti mencari jalan supaya aku dapat memperolehi makanan dengan mudah".
Burung bangau mendapat idea dan berpura-pura duduk termenung dengan perasaan sedih di tebing tasik. Seekor katak yang kebetulan berada di situ ternampak bangau yang sangat murung dan sedih lalu bertanya "Kenapakah aku lihat akhir-akhir ini kamu asyik termenung dan bersedih sahaja wahai bangau?". Bangau menjawab " Aku sedang memikirkan keadaan nasib kita dan semua penghuni tasik ini." "Apa yang merunsingkan kamu, sedangkan kita hidup di sini sudah sekian lama tidak menghadapi sebarang masalah. "Jawab katak. "Awak manalah tahu, aku sering terbang ke sana ke mari dan mendengar manusia sedang berbincang tentang bencana kemarau yang akan menimpa kawasan ini dalam beberapa bulan lagi. Kau lihat sajalah sejak akhir-akhir ini hari panas semacam aje, hujan pun sudah lama tidak turun". Bangau menyambung lagi, "Aku khuatir tasik ini akan kering dan semua penghuni di tasik ini akan mati." Katak mengangguk- anggukkan kepalanya sebagai tanda bersetuju dengan hujah bangau tadi. Tanpa membuang masa katak terus melompat ke dalam tasik untuk memaklumkan kepada kawan-kawan yang lain.
Berita bencana kemarau telah tersebar ke seluruh tasik begitu cepat dan semua penghuni tasik berkumpul ditebing sungai dimana bangau berada. Masing-masing riuh rendah menanyakan bangau akan berita tersebut. Seekor ikan haruan bertanya kepada bangau. "Apakah cadangan engkau untuk membantu kami semua?" Burung bangau berkata "Aku ada satu cadangan, tetapi aku khuatir kamu semua tidak bersetuju." "Apakah cadangan tersebut" kata haruan seolah-olah tidak sabar lagi mendengarnya. Bangau berkata " Tidak jauh dari sini ada sebuah tasik yang besar dan airnya dalam, aku percaya tasik tersebut tidak akan kering walaupun berlaku kemarau yang panjang." "Bolehkah engkau membawa kami ke sana," sampuk ketam yang berada di situ. "Aku boleh membawa kamu seekor demi seekor kerana aku sudah tua dan tidak berdaya membawa kamu lebih daripada itu" kata burung bangau lagi. Mereka pun bersetuju dengan cadangan burung bangau.
Burung bangau mula mengangkut seekor demi seekor ikan daripada tasik tersebut, tetapi ikan- ikan tersebut tidak dipindahkan ke tasik yang dikatakannya. Malahan ia membawa ikan-ikan tersebut ke batu besar yang berhampiran dengan tasik dan dimakannya dengan lahap sekali kerana ia sudah tidak makan selama beberapa hari. Setelah ikan yang dibawanya dimakan habis, ia terbang lagi untuk mengangkut ikan yang lain. Begitulah perbuatannya sehingga sampai kepada giliran ketam. Oleh kerana ketam mempunyai sepit ia hanya bergantung pada leher burung bangau dengan menggunakan sepitnya. Apabila hampir sampai ke kawasan batu besar tersebut,ketam memandang ke bawah dan melihat tulang-tulang ikan bersepah di atas batu besar. Melihat keadaan tersebut ketam berasa cemas dan berfikir di dalam hatinya "Matilah aku kali ini dimakan oleh bangau." Lalu ia memikirkan sesuatu untuk menyelamatkan dirinya daripada ratahan bangau yang rakus. Setelah tiba di atas batu besar ketam masih lagi berpegang pada leher bangau sambil berkata, "Dimanakah tasik yang engkau katakan itu dan kenapa engakau membawa aku di sini?" Bangau pun tergelak dengan terbahak-bahak lalu berkata "Kali ini telah tiba masanya engkau menjadi rezeki aku." Dengan perasaan marah ketam menyepit leher bangau dengan lebih kuat lagi sehingga menyebabkan bangau sukar untuk bernafas, Bangau merayu minta di lepaskan dan berjanji akan menghantar ketam kembali ke tasik tersebut. Ketam tidak mempedulikan rayuan bangau malah ia menyepit lebih kuat lagi sehingga leher bangau terputus dua dan bangau mati di situ juga.
Dengan perasaan gembira kerana terselamat daripada menjadi makanan bangau ia bergerak perlahan-lahan menuju ke tasik sambil membawa kepala bangau. Apabila tiba di tasik, kawan-kawannya masih lagi setia menunggu giliran masing-masing. Setelah melihat ketam sudah kembali dengan membawa kepala bangau mereka kehairanan dan ketam menceritakan kisah yang berlaku. Semua binatang di tasik tersebut berasa gembira kerana mereka terselamat daripada menjadi makanan burung bangau yang tamak dan mementingkan diri sendiri. Mereka mengucapkan terima kasih kepada ketam kerana telah menyelamatkan mereka semua.
Pengajaran : Kita tidak boleh bersikap tamak dan mementingkan diri sendiri . Kita hendaklah memikirkan perasaan orang lain.
Keldai Dengan Serigala
Pada suatu pagi, seekor keldai pergi meragut rumput di sebuah padang rumput yang luas. Ia meragut rumput dengan gembira kerana rumput di situ sunguh segar. Lagipun tiada haiwan lain di di situ, jadi ia dapat meragut rumput dengan senang hati.
‘’Oh, beruntung sungguh aku hari ini!’’ Setelah kenyang, keldai mamandang sekeliling,tiba-tiba ia ternampak seekor serigala yang kelaparan sedang menuju ke arahnya.
“Apakah yang harus aku buat sekarang? Kalau aku lari, tentu serigala itu berjaya mengejar aku"rungut keldai yang ketakutan itu. Tiba-tiba keldai mendapat idea, Keldai memberanikan diri. Ia berpura-pura berjalan dengan selamba kea rah seringala.
“Apakah yang sedang berlaku? Mengapa kamu tidak lari sebaik sahaja ternampak aku?’’ tanya serigala yang kehairanan. Tiada gunanya aku lari kerana kamu tetap akan buru dan menangkap aku. Akhirnya aku akan jadi makanan kamu juga.’’Kata keldai dengan berani.
‘’Betul juga cakap kamu. Kalau kamu terlepas hari ini, esok atau lusa kamu akan jadi mangsa aku juga,’’kata serigala.’’Tapi tidak seronok kalau aku dapat tangkap kamu dengan mudah. Bukankah lebih seronok jika kita main kejar-kejar. Kalau aku berjaya tangkap kamu, aku akan makan kam.’’
‘’Baiklah, aku setuju dengan cadangan kamu, ’’Kata keldai, ’’tapi sebelum kita main kejar-kejar,aku mahu meminta pertolongan kamu. Bolehkah kamu tolong buangkan serpihan duri di dalam kuku kaki belakang aku.’’
‘’Ya, sudah tentu aku akan tolong kamu!’’ Kata serigala. Keldai pun menghulurkan kaki belakangnya ke arah serigala. Ketika serigala cuba memegang kakinya dan menunduk untuk mencabut duri tersebut, keldai pun menendang muka serigala dengan kuat.
‘’Aaaaaahhhhhhh!’’ Jerit serigala dengan kuatnya. Disebabkan tendangan keldai itu amat kuat, serigala mengalami kecederaan yang teruk. Hidungnya berdarah dan beberapa batang giginya patah. Akhirnya ia berdiri dengan kesakitan yang amat sangat.’’Lain kali aku akan tangkap kamu dan makan kamu!’’jerit serigala dengan marah.
Labah-Labah Yang Buncit
Dalam sebuah belukar tinggal seekor labah-labah. Sarangnya lebih besar daripada sarang labah-labah lain. Dahulu bapanya yang membuat sarang itu. Kemudian ia menambah di sekeliling sarang itu.
Labah-labah itu berlari dengan pantas dari tengah ke tepi sarang. Ia menangkap mangsanya. Binatang yang ditangkap segera dimakan. Badannya semakin hari semakin besar. Perutnya buncit. Ia memang kuat makan. Perutnya sentiasa berasa lapar.
Pada suatu hari, datang dua ekor labah-labah. Satu dari arah timur dan satu lagi dari arah barat. Kedua-dua labah-labah mahu menjemput labah-labah buncit makan kenduri. Kenduri itu diadakan pada waktu yang sama. Ia menjadi serba salah.
Labah-labah buncit bertanya jiran-jirannya. Mereka juga mendapat jemputan. Jiran di kiri pergi ke jemputan arah barat. Jiran di kanan pergi ke jemputan arah timur. Labah-labah buncit mendapat akal. Ia meminta kerjasama jiran-jirannya.
Labah-labah buncit memberi tali kepada jiran-jirannya. Sesiapa yang makan dahulu tarik tali itu. Ia akan pergi ke sana dahulu. Tali itu diikatkan pada perutnya supaya tidak terlepas. Kedua-dua labah-labah itu pun pergi. Apabila jamuan dihidang, jiran kanan pun menarik tali dari arah timur. Pada masa yang sama jiran kiri menarik dari arah barat pula. Labah-labah buncit tidak dapat mengikut ke barat. Ia tidak sempat membuka ikatan perutnya.
Kedua-dua jiran labah-labah buncit terus menarik tali masing-masing. Perut labah-labah buncit semakin tercerut. Setelah tidak berjaya menarik, kedua-dua jirannya pun terhenti. Mereka menikmati hidangan. Selepas makan mereka pun pulang. Mereka mendapati labah-labah buncit pengsan. Mereka cuba membuka tali yang tercerut di perut labah-labah buncit. Sayangnya mereka tidak dapat membuka ikatan itu.
Beberapa hari kemudian labah-labah buncit sedar. Ia berjaya membuka ikatan di perutnya. Sejak itu ia tidak hiraukan makan. Perutnya tidak berasa lapar seperti selalu. Pinggangnya pun ramping bekas kena cerut. Hingga sekarang pinggang labah-labah kecil dan genting.
CONTOH BAHAN JENIS PUISI
PANTUN PERPISAHAN
_
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan
Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi
Hari ini menanam jagung
Hari esok menanam serai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bersurai
Malam ini menanam jagung
Malam esok menanam serai
Malam ini kita berkampung
Malam esok kita bercerai
Hari ini menugal jagung
Hari esok menugal jelai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bercerai
Batang selasih permainan budak
Berdaun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga
Orang Aceh sedang sembahyang
Hari Jumaat tengah hari
Pergilah kasih pergilah sayang
Pandai-pandailah menjaga diri
Mana Manggung, mana Periaman
Mana batu kiliran taji
Tinggal kampung tinggal halaman
Tinggal tepian tempat mandi
Bintang Barat terbit petang
Bintang Timur terbit pagi
Jika tidak melarat panjang
Ada umur ketemu lagi
Dari mana hendak ke mana
Tinggi ruput dari padi
Tahun mana bulan mana
Dapat kita berjumpa lagi?
Dian tiga lilin pun tiga
Tanglung tergantung rumah laksamana
Diam juga sabar pun juga
Ada umur tidak ke mana
Tuan puteri pergi ke Rasah
Pulang semula sebelah pagi
Kita bertemu akhirnya berpisah
Diizin Tuhan bersua lagi
Rujukan:
Persuratan Melayu 2 Pantun Melayu Sastera Rakyat Pantun Serbaneka Pantun Adat dan Resam Manusia Kumpulan Pantun Melayu, DBP 1983
PANTUN TEKA TEKI
Kalau Tuan pergi ke kedai Belikan saya buah keranji Kalau tuan bijak pandai Apa binatang keris di kaki?
Ada sebiji roda pedati Bentuknya bulat daripada besi Bila bermain diikat sekuat hati Dilempar hidup dipegang mati?
Buah budi bedara mengkal Masak sebiji di tepi pantai Hilang budi bicara akal Buah apa tidak bertangkai?
Burung nuri burung dara Terbang ke sisi taman kayangan Cubalah teka wahai saudara Semakin diisi makin ringan?
Bunga orkid indah warnanya Penyeri taman dan juga hutan Ramai orang datang bertanya Bintang apa hidup di lautan?
Pak Pung Pak Mustafa Encik Dollah dirumahnya Ada tepung ada kelapa Gula Melaka jadi intinya
Kelip-kelip kusangka api Kalau api mana asapnya? Hilang ghaib disangkakan mati Kalau mati mana kuburnya?
Budak-budak bermain batu Batu dikira satu persatu Badannya lurus bermata satu Ekornya tajam apakah itu?
Jika tuan membeli tikar Tikar anyaman dari mengkuang Kalau Tuan bijak pintar Ular apa membelit pinggang?
Masak tumis sambal petai Makan kenyang sambil sendawa Anda menziarah sahabat handai Buah apakah yang akan dibawa?
Pokoknya bulat dan juga rendang Masam dan hijau ketika muda Buahnya berbentuk seperti bintang Sudah masak, kuninglah ia
Belayar perahu dari Bentan Menyusur tepi Selat Melaka Lebar kepala dari badan Apakah ikan cubalah teka?
Mak Minah menanak minyak Kemenyan dibakar dengan setanggi Dua peha beranak banyak Untuk mendaki tempat yang tinggi?
Orang bekerja diberikan upah Hidangan disaji dalam talam Gajah putih ditengah rumah Layar terkembang di waktu malam?
Gigi berduri tatah bersigai Pembelah kayu ia berguna Jika tuan orang yang pandai Benda apakah makannya dua cara?
Jika ke kedai pergi berbelanja Belikan saya sudu dan senduk Jika pandai katakan ia Semakin berisi semakin menunduk?
Kalau tuan pakai lencana Pakailah songkok di atas kepala Kalau Tuan bijak laksana Binatang apakah tiada kepala?
Pisau lipat dimainnya kera Tangannya luka lalu terjun Makan kuat tidak terkira Kenyangnya tidak tahi bertimbun?
Minah ketawa terjerit-jerit Melihat koyak pada seluar Orang putih duduk sederet Pagar didalam tebing diluar?
Tuan puteri belajar menari Tari diajar oleh Pak Harun Kalau Tuan bijak bestari Apa yang naik tak pernah turun?
PUISI - PERJUANGAN TIADA HENTI
Sedetik waktu berlalu mengingatkan diri pada sebuah perjuangan suci menegakkan bahasa ibunda tercinta mekar subur mewangi di persada dunia.
Kalimah-kalimah lantang terentang membangkitkan semangat juang daulatkan bahasa! Bahasa menegakkan bangsa! Bahasa lambang perpaduan!
Seketika kita dikejutkan dengan impian dan gagasan bahasa kita tidak lagi sepadan jatuh tersungkur hanyut dibawa arus globalisasi tanpa sempadan.
Perjuangan tiada henti kita semakin berani bersatu melahirkan hasrat bahasa perlu dijaga demi mendaulat maruah bangsa.
Sorakan semangat jati diri melaung-laung di segenap pelosok menyambut kemenangan sebuah perjuangan menegakkan bahasa tercinta.